Monday, May 18, 2009

Barcelona juara Liga Sepanyol


MADRID - Pasukan sensasi musim ini, Barcelona menjuarai Liga Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, kelmarin.
Kelab yang digelar Catalan itu memiliki kelebihan lapan mata berbanding pasukan tempat kedua liga, Real Madrid, malah menjadi sebuah pasukan yang seolah-olah tidak boleh ditumpaskan musim ini.
Barcelona dinobatkan sebagai juara liga apabila pesaing terdekatnya, Real tumpas 2-3 kepada Villarreal di gelanggang lawan, kelmarin.
Robert Pires, Ruben 'Cani' Gracia dan Joan Capdevila masing-masing menjadi pemusnah harapan Real apabila membantu Villarreal menumbangkan gergasi Sepanyol tersebut.
Dua gol pasukan juara tahun lalu itu disumbangkan oleh Rafael van der Vaart dan Gonzalo Higuain.
Ia merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut Real di persaingan liga, sekali gus menyebabkan kelab itu menderita tanpa memenangi sebarang trofi buat kali pertama sejak musim 2005-06.
Pertemuan Barcelona seterusnya di peringkat liga adalah bertemu Mallorca di gelanggang lawan dan mengumpul 86 mata ketika ini.
Catalan mempunyai baki pertemuan liga sebanyak tiga perlawanan, manakala Real mencatat 78 mata dan memiliki baki dua perlawanan yang akan diteruskan.
Gelaran juara liga kali ke-19 dicapai oleh Barcelona itu merupakan kejayaan cemerlang yang dihasilkan oleh jurulatih berusia 38 tahun, Pep Guardiola.
Ia merupakan satu pencapaian hebat buat Guardiola kerana tahun ini merupakan musim pertama bekas pemain tengah Barcelona itu memimpin pasukan terkemuka Sepanyol tersebut.
Malah, Presiden Barcelona, Joan Laporta memuji pencapaian cemerlang Catalan menerusi satu temu bual bersama syarikat televisyen kelab tersebut.

No comments:

Post a Comment